CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Tuesday, January 27, 2009

Sifat Marah

Sifat marah jika tidak dibendung akan memudaratkan diri dan juga orang di sekitar. Lebih malang lagi jika perasaan tersebut dilepaskan kepada orang yang tidak berkenaan... lebih-lebih lagi anak-anak. "Tersalah" atau "terlebih" hukum akibat dikuasai perasaan marah... akan meninggalkan kesan tidak baik kepada emosi anak-anak atau orang yang sebenarnya tidak bersalah.

Pernah dengar kisah tentang seorang anak yang terlalu baran...?

Bagi membantu si anak menguasai sifat marahnya, si ayah telah menyuruh si anak untuk mengetuk sebatang paku pada sebatang tiang. Bila rasa marah... ambil paku dan pasak ke tiang. Itulah yang dilakukan oleh si anak bilamana timbul rasa marah.

Pada satu peringkat hampir penuh tiang tersebut dengan paku-paku yang terpasak padanya.

Si ayah kemudian memberitahu kepada anaknya... "Nak, mulai hari ini setiap hari kau dapat menahan rasa marah.. maka cabutlah sebatang paku dari tiang tersebut"

Bagi membuktikan kepada ayahnya yang dia mampu mengawal marah, si anak mula belajar mengurus sifat marahnya. Saban minggu sebatang paku tanggal dari tiang tersebut. Semakin lama semakin kerap paku tersebut dapat dicabutnya... dan akhirnya bersihlah tiang tersebut dari paku-paku yang berceracak sebelum ini.

"Ayah... lihat... saya berjaya menanggalkan semua paku dari tiang. Saya dah berjaya mengawal sifat marah saya" kata si anak.

"Alhamdulillah..." kata si ayah pula seraya menyambung "... tetapi cuba kau lihat apa yang tinggal pada tiang tersebut...?"

"Lubang-lubang, ayah"

"Ya... begitulah kesan marah jika tidak dikawal dan diarah ke tempat yang salah. Biarpun ianya telah reda... tetapi lukanya tetap tertinggal pada jiwa orang yang menerimanya"

Mempunyai sifat marah adalah normal bagi manusia. Tetapi ia perlu diurus dengan baik. Kegagalan kita mengurus sifat marah... akan meninggalkan kesan negatif yang mungkin berkekalan untuk masa yang lama.


Moralnya... punya sifat marah adalah normal. Cuma bagaimana untuk kita uruskan sifat marah tu.

Quick tips:

Tips ni rasanya dah biasa sangat dengar orang bagi tau. Tapi takpe kita kira macam ulangkaji lah...

Jika masa marah tu kita tengah berdiri... maka duduklah
Jika sedang duduk... maka berbaringlah.

Lebih afdal bila timbul rasa marah segera mengambil wudu'. Kerana marah itu seumpama "api" dan "air" bakal meredakannya.

Sebagai tambahan... banyak-banyakkan membaca al-Quran.

0 comments: